Artikel dan Ulasan

PAUTAN ARTIKEL 1


HUBUNGAN ANTARA BUDAYA FORMAL SEKOLAH DAN GAYA PEMBELAJARAN PELAJAR DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR SEKOLAH MENENGAH

Berdasarkan jurnal di atas, kita dapat lihat bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik pelajar. Bagi meningkatkan pencapaian pelajar, pihak sekolah hendaklah memperbaiki tahap budaya formal sekolah. Pihak sekolah hendaklah memastikan sekolah merupakan tempat yang kondusif dan sesuai untuk sesi pembelajaran dan pengajaran pelajar. Kemudahan yang lengkap hendaklah disediakan bagi menarik minat pelajar belajar dengan lebih tekun. Selain itu, pelaksanaan disiplin atau peraturan sekolah adalah amat penting bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang harmonis. Setiap pelajar hendaklah diterapkan dengan nilai-nilai murni bagi membentuk peribadi dan sahsiah pelajar yang cemerlang  supaya masalah disiplin pelajar dapat diatasi. Seperti yang kita sedia maklum, selalunya jika sesebuah sekolah mengalami masalah displin, ini akan menjejaskan reputasi pengetua, guru-guru, pelajar dan sekolah itu sendiri. Kadang kala masalah disiplin yang dialami di sekolah ini disusuli pula dengan prestasi pencapaian pelajar yang teruk terutamanya dalam peperiksaan utama seperti SPM dan PMR. Keadaan ini akan menjejaskan imej dan kepercayaan masyarakat terhadap sekolah berkenaan.

Namun, persekitaran yang kondusif juga tidak semestinya dapat menjamin kecemerlangan pelajar. Hal ini kerana, kecemerlangan pelajar bergantung kepada guru dan juga diri pelajar itu sendiri iaitu dari segi gaya pembelajaran. Sebagai seorang guru, mereka hendaklah tahu bagaimana untuk mempelbagaikan gaya pembelajaran mereka kerana pelajar terdiri daripada latar belakang dan budaya yang berbeza. Guru perlu peka terhadap kepelbagaian ini supaya tiada kelompok merasakan diri mereka tersisih di sekolah mahupun di bilik darjah. Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang lemah dan datang dari keluarga yang miskin mempunyai gaya belajar yang berbeza. Mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar yang lebih spesifik berbanding dengan murid yang lebih berupaya yang hanya memerlukan bimbingan sahaja dan boleh belajar sendiri. Tetapi apa yang lebih penting di sini adalah, untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang, pelajar tersebut hendaklah mempunyai gaya pembelajaran yang berkesan di samping bimbingan dari guru. Hal ini kerana kebanyakkan pelajar yang cemerlang mempunyai gaya pembelajaran yang berkesan.



PERSEPSI IBU BAPA TERHADAP TAHAP IKLIM SEKOLAH DARIPADA ASPEK PENGURUSAN, HUBUNGAN SOSIAL DAN GAYA PENGAJARAN DI SEBUAH SEKOLAH SWASTA DI DAERAH JOHOR BAHRU

Pautan di atas mengkaji tentang persepsi ibu bapa terhadap iklim sekolah daripada aspek pengurusan, hubungan sosial dan gaya pengajaran di sebuah sekolah swasta di Johor Bahru. Hasil dari pautan di atas, menyatakan bahawa ibu bapa berpuas hati dengan pengurusan pihak sekolah termasuklah kepimpinan pengetua serta pentadbiran sekolah berkaitan bidang akademik, prestasi sekolah, disiplin dan hal-hal lain. Selain itu kepimpinan pengetua juga telah berjaya membawa perubahan yang baik ke atas sekolah dari segi akademik, disiplin dan prestasi sekolah. Sebagai seorang pengetua yang baik, beliau hendaklah mengamalkan konsep terbuka dalam pentadbirannya. Konsep terbuka yang diamalkan dapat mewujudkan hubungan yang mesra dan suasana yang harmoni di antara pengetua, guru-guru, pelajar serta ibu bapa.

Selain itu, kita dapat lihat hubungan sosial guru dan pelajar berada pada tahap yang baik pada pandangan ibu bapa. Pelajar dilihat menghormati guru-guru mereka dan sentiasa mengamalkan sikap-sikap yang positif. Dengan adanya sikap-sikap yang positif di dalam diri pelajar, secara tidak langsung dapat mengawal masalah disiplin pelajar di sekolah. Hubungan yang mesra di antara pelajar dan guru juga akan mewujudkan suasana pembelajaran yang harmoni  serta membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam bidang-bidang seperti akademik dan kokurikulum.

Ibu bapa juga dilihat kurang berpuas hati dengan gaya pengajaran guru di sekolah. Hasil daripada kajian menunjukkan, guru lebih mengutamakan gaya pembelajaran berpusatkan guru. Sebenarnya, gaya pebelajaran yang paling berkesan adalah gaya pembelajaran yang berpusatkan pelajar di mana objektif, tugasan, dan sumber pembelajaran ditentukan oleh pelajar itu sendiri. Dengan demikian, sekolah akan dapat melahirkan individu yang berkualiti dan berketerampilan di masa akan datang.  





TINGKAH LAKU KEPIMPINAN PENGETUA DAN HUBUNGANNYA DENGAN TEKANAN KERJA DAN KEBERKESANAN ORGANISASI, DI BEBERAPA BUAH SEKOLAH TERPILIH DI NEGERI SEMBILAN


Jurnal ini mengkaji tingkah laku kepimpinan pengetua dan hubungannya dengan tekanan kerja dan keberkesanannya organisasi di beberapa buah sekolah terpilih di Negeri Sembilan. Hasil yang didapati daripada kajian ini mendapati terdapat hubungan rendah yang negative di antara tingkah laku kepimpinan pengetua dengan tekanan kerja guru dengan keberkesanan organisasi sekolah dan wujud hubungan rendah yang positif di antara tingkah laku kepimpinan dengan keberkesanan organisasi sekolah. Pengetua memainkan peranan yang penting dalam sesebuah organisasi sekolah. Pengetua bukan sahaja memainkan peranan sebagai seorang ketua dan pentadbir tetapi budaya sesebuah sekolah itu amat berkait rapat dengan budaya kepimpinan seseorang pengetua. Pengetua yang berkesan akan dapat menentukan kejayaan sesebuah sekolah dan memberikan budaya yang sihat dan positif di kalangan ahli organisasi.

            Guru merupakan aset utama yang menjalankan aktiviti di sekolah. Oleh itu, seseorang pengetua haruslah mempunyai pengurusan kemanusiaan yang baik kerana ini amat penting supaya tidak wujud  tekanan dan kekangan keterlaluan antara guru-guru di sekolah. Pengetua di anggap sebagai nadi sebuah sekolah di mana sekiranya corak kepimpinannya dapat memberi kepuasan kepada semua kakitangannya yang terdiri daripada guru-guru dan bukan guru akan mewujudkan suasana kerja yang menyeronokkan dan secara tidak langsung prestasi guru dan kakitangan lain akan meningkat.

            Dalam perlaksanaan tugas, pengetua seharusnya mempunyai kebolehan untuk menguruskan pelbagai peranan yang mereka perlu lakukan di sekolah. Pengetua seharusnya memjadi mentor yang terbaik kepada guru-guru dan supaya tekanan yang timbul daripada konflik peranan tidak timbul di kalangan para guru. Pengetua sebenarnya berfungsi sebagai penyederhanaan tekanan kerja guru. Corak kepimpinan pengetua yang sesuai dapat meningkatkan prestasi guru seterusnya meningkatkan keberkesanan organisasi sekolah.
            



PINCANG LAKU KEPIMPINAN PENGETUA MENURUT PERSPEKTIF GURU-SATU KAJIAN KES


Kajian ini merupakan satu kajian yang dibuat untuk mengetahui secara konstruktif dan komprehensif tentang pincang laku kepimpinan pengetua dan kesannya kepada guru dari segi emosi dan fizikal samada dalam masa jangka pendek ataupun panjang. Kajian ini melbatkan 10 orang guru yang menjadi mangsa pincang laku kepimpinan pengetua di salah sebuah sekolah yang telah dikenalpasti.  Kajian ini dibuat adalah untuk membuktikan keberkesanan sesebuah sekolah adalah bergantung kepada kepimpinan pengetua.
Pincang laku majikan di tempat kerja juga didapati mempunyai hubungan dengan kesan buruk secara serius terhadap kesejahteraan fizikal (physical well being), kesejahteraan psikologikal, prestasi kerja dan psikososial. Antara contoh kesan tersebut ke atas kesejahteraan fizikal ialah gangguan tidur, sakit kepala, sakit belakang, pitam, kelesuan, hiperaktiviti, perubahan berat badan dan ‘irritable bowel syndrome’. Manakala kesan psikologi atau emosional pula ialah depresi kemarahan, tidak terurus, tidak terdaya, tidak berkuasa, malu, rasa tidak selamat, konsentrasi lemah, keyakinan diri yang rendah, stres, dan rasa  dendam. Sementara itu, kesan pincang laku terhadap prestasi kerja pula boleh dilihat dari segi penyusutan dalam usaha ekstra kerja, kurang komited, peningkatan ketidakhadiran, keinginan untuk berpindah, dan atrisi. Akhir sekali, kesan pincang laku di tempat kerja daripada aspek sosial pula ialah murung, kehilangan kawan, dan suka mengasingkan diri.
Kajian ini menggunakan pendekatan teoritikal interaksi simbolik bagi mendapatkan data daripada responden. Perspektif ini melihat individu sebagai satu produk sosial yang dipengaruhi oleh seseorang, tetapi pada masa yang sama berupaya menghuraikan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh orang itu (Blumer 1969). Dalam perkataan lain, perspektif ini membolehkan pengkaji mengenal pasti persepsi dan maksud yang cuba disampaikan oleh seseorang dalam konteks sosial mereka (Schwandt 1994). Malah penyelidikan yang menggunakan pendekatan ini juga dikatakan mampu mengkaji “what goes on inside the heads of humans” (Meltzer, Petras & Reynolds 1975). Sehubungan dengan itu, teknik ‘snowball sampling’ telah digunakan bagi memilih sampel kajian ini. Teknik ini memerlukan seseorang guru memberi cadangan teman sekerja yang dipercayai mempunyai kesan pengalaman pincang laku kepimpinan pengetua. Menurut Taylor dan Bogdan (1998), teknik persampelan ini sangat sesuai bagi kajian seperti ini. Langkah pertama yang dibuat oleh penyelidik ialah mengenal pasti mangsa. Daripada senarai yang diperoleh, penyelidik telah memusatkan atau menumpukan kajian kes terhadap salah sebuah sekolah sahaja memandangkan bilangan aduan yang diterima daripada guru-guru sekolah tersebut adalah yang tertinggi, iaitu sebanyak 11 aduan berbanding bilangan guru sekolah tersebut adalah seramai 42 orang.
Seterusnya penyelidik telah memilih dua orang sampel sebagai sumber induk berdasarkan kesediaan dan kesudian sampel tersebut mengunjungi penyelidik untuk memerihalkan pengalaman mereka berkaitan dengan fenomena ini. Menerusi dua orang sampel tersebut, penyelidik telah memperkembangkannya kepada 10 orang sampel di dalam sekolah yang sama. Sampel telah dihubungi di rumah kerana berasa lebih selamat serta mempunyai masa yang panjang untk menyatakan apa yang berlaku. Sampel yang dipilih ialah empat orang guru lelaki dan enam orang guru perempuan.

Hasil kajian ini menunjukkan beberapa tingkah laku pincang pengetua diperoleh iaitu:
1.      Perlakuan kasar
2.      Tidak mempercayai dan tidak berperikemanusiaan
3.      Memulau dan tidak menyokong guru
4.      Pilih kasih
5.      Mengintip
6.      Tuntutan kerja yang melampau
7.      Suka mengkritik dan melatah
8.      Berbohong
9.      Mengugut

Tingkah laku pengetua ini telah menyebabkan kesan seperti berikut:
1. Emosi( terkejut, keliru, takut, tidak yakin, bimbang)
2. Fizikal ( hilang selera makan, gangguan tidur, sakit kepala, sakit perut, dan tidak  
    bermaya)

            Secara kesimpulannya, pengetua adalah orang yang paling bertanggungjawab dalam pentadbiran di sesebuah sekolah. Kepimpinan pengetualah yang menentukan budaya sekolah samada dari segi proses pembelajaran, tahap profesionalisme, pencapaian pelajar dan moral gu-gurunya. Masyarakat meletakkan harapan yang tinggi terhadap sekolah, oleh itu pengetua perlulah bijak dalam menguruskan sesebuah sekolah bagi menjanjikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka.





ARTIKEL: LEADERSHIP FOR SCHOOL CULTURE
BY STEPHEN STOLP

Artikel yang bertajuk ‘Leadership for school culture’ ditulis oleh Stephen Stolp. Artikel ini membincangkan tentang kepemimpinan pengetua dan budaya sekolah. Pemimpin sekolah yang berjaya adalah pemimpin yang dapat mengenalpasti persekitaran organisasi secara holistik. Ini bererti konsep budaya seperti nilai, kepercayaan, norma perlu difahami oleh pemimpin sekolah dalam membentuk budaya sekolah yang positif. 
Beberapa definisi budaya sekolah telah dinyatakan di dalam artikel ini, namun dalam bidang pendidikan definisi budaya sekolah masih belum dapat dijelaskan dengan baik. Definisi yang dinyatakan dalam kajian-kajian yang lepas juga masih kabur dan kurang jelas. Budaya sekolah yang positif dapat meningkatkan pencapaian dan motivasi pelajar, produktiviti guru dan kepuasan kerja guru. Budaya sekolah juga mempunyai hubungan dengan tingkah laku guru terhadap kerja. Jika guru bekerja di dalam persekitaran yang harmoni, mempunyai ideologi organisasi, perkongsian pendapat, pemimpin yang berkarisma, maka kepuasan kerja dan produktiviti guru dapat ditingkatkan.
Persoalannya, siapakah yang membentuk budaya sekolah? Pengetua atau pemimpin sekolah adalah individu yang bertanggungjawab dalam membentuk budaya sesebuah sekolah. Pengetua perlu memahami apakah budaya di sesebuah sekolah terlebih dahulu sebelum melakukan perubahan. Perubahan atau penambahbaikan boleh dilakukan dengan perbincangan bersama guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat. Budaya sesebuah sekolah tidak boleh berubah dengan serta merta, ianya mengambil masa yang lama untuk diterima oleh warga sekolah tersebut. Ini kerana mereka telah biasa dan selesa dengan budaya yang lama. Perubahan yang ingin dilakukan oleh pengetua sudah pasti ada kekangan dan bantahan daripada warga sekolah tersebut. Namun artikel ini tidak membincangkan bagaimanakah pengetua dapat meyakinkan warga sekolah khususnya guru-guru dalam melaksanakan sesuatu perubahan agar tidak menimbulkan suasana yang negatif.
Artikel ini juga membincangkan kepentingan visi dan matlamat sekolah di dalam membentuk budaya sekolah. Visi dan matlamat sekolah tidak statik, ianya boleh berubah. Menurut penulis, visi dan matlamat sekolah akan berubah jika budaya sekolah tersebut berubah. Peranan pengetua sangat penting dalam membentuk budaya sekolah yang positif. Budaya sekolah juga dikatakan bergantung kepada tingkahlaku pemimpin. Jika pemimpin mempunyai tingkahlaku seperti mengambil berat, suka berinteraksi dengan warga sekolah, maka beliau akan membentuk budaya sekolah yang mempunyai nilai-nilai seperti itu.
Artikel ini juga tidak membincangkan aspek kepengetuaan dengan lebih mendalam. Pengetua yang dapat membentuk budaya sekolah yang positif adalah pengetua yang bijak dalam mentadbir sekolah tersebut. Banyak sekolah yang tidak berjaya kerana pengetua gagal dalam mengurus sekolah tersebut. Mengapa perkara ini berlaku? Salah satu faktor adalah pengetua tidak mahir dan tidak mempunyai ilmu tentang kepengetuaan. Amatlah malang jika sesebuah sekolah yang berjaya tiba-tiba menurun prestasinya kerana pengetua yang tidak berjaya memimpin sekolah dengan baik.
Konklusinya, sebagai pengetua mereka perlu memahami budaya sesebuah sekolah terlebih dahulu. Budaya setiap sekolah adalah berbeza. Banyak faktor yang mempengaruhi pembentukkan budaya sekolah namun tidak dibincangkan di dalam artikel ini. Pembentukan budaya sekolah yang positif bergantung kepada kepemimpinan pengetua. Jatuh dan bangunnya sesebuah sekolah adalah kerana kepemimpinan pengetuanya.

      PAUTAN 6

AMALAN KEPIMPINAN SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI (SBT) DI MALAYSIA

Jurnal ini menerangkan tentang kajian yang dibuat untuk membuktikan bahawa kepimpinan memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk menjadikan sesebuah sekolah itu berjaya dan mencapai prestasi yang tinggi(Jo et al.2010, Simone & Uchiyama, 2003).  Pada 25 Januari 2010, KPM telah mengumumkan 20 SBT yang melibatkan 10 buah sekolah berasrama penuh, empat sekolah menengah harian dan enam buah sekolah rendah seluruh negara. SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan dan mampu berdaya saing di persada dunia. Sasaran utama KPM adalah untuk meletakkan semua SBT sebagai penanda aras dalam soal kecemerlangan pendidikan dan menjadi model kepada semua sekolah di negara ini. Pada fasa pertama ini, hanya 20 buah sekolah terpilih daripada 10,000 sekolah di Malaysia. Kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada keberkesanan seluruh sistem, nilai, kepercayaan, iklim, semangat dan budaya yang diamalkan oleh warga sekolah iaitu pelajar, kakitangan sokongan, guru-guru dan pihak pentadbir. Pihak yang amat besar pengaruhnya kepada kecemerlangan dan kejayaan organisasi sekolah itu ialah pemimpin sekolah iaitu pengetua atau guru besar. Menurut Alimuddin(2006) sekolah memerlukan pemimpin yang berkesan untuk mentadbir sekolah dan jika gagal mentadbir dengan baik, masalah akan timbul.
            Kajian dibuat berdasarkan kajian kepimpinan pendidikan di Barat yang dibuat oleh Day, Harris, Hadfield, Tolley dan Beresford (2002). Kajian ini dikenali sebagai ‘International Successful School Principalship Project (ISSPP)’. Projek yang terdiri daripada tiga fasa yang melibatkan lapan buah negara di dunia iaitu England, Kanada, Amerika Syarikat, Australia, Denmark, Norway, Sweden dan China. Lebih daripada 60 kajian kes dijalankan daripada pelbagai perspektif dan tinjauan tentang pemimpin yang berjaya. Kaedah kualitatif telah digunakan dan dapatan daripada kajian ini menunjukkan ciri-ciri signifikan pemimpin sekolah yang berjaya daripada lapan buah negara tersebut. Leithwood, Day,Sammon, Harris dan Hopkin (2006) mendapati sebenarnya kepimpinan sekolah melibatkan empat dimensi utama iaitu:
I. Menentukan arah
Ii. Membangunkan manusia
Iii. Menstruktur organisasi
Iv. Menguruskan proses atau program instruksional

            Ikutan daripada penemuan dimensi baru itu , satu kajian kes ‘across country’ dalam ISSPP telah dibuat. Leithwood dan Day (2007) telah mendapat bukti yang relevan dengan literatur dan menyatakan wujud amalan tambahan bagi kepimpinan sekolah yang berjaya. Pemimpin yang berjaya ini juga mempunyai nilai peribadi dan professional, memiliki ciri-ciri positif dan berupaya untuk membuat ramalan dan mengadaptasi kepimpinannya mengikut keperluan dan konteks sekolah. Kajian ISSPP ini juga mendapati wujud ciri-ciri dan amalan tertentu kepimpinan pemimpin sekolah yang berjaya dan kepimpinan mereka adalah mempengaruhi kepada kejayaan sekolah.
           
            Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti ciri-ciri dan amalan-amalan kepimpinan pengetua atau guru besar SBT di Malaysia. Pengkaji ingin mengetahui apakah kaedah-kaedah yang digunakan dalam kepimpinannya yang menyumbangkan kepada kecemerlangan sekolah. Selain itu, pengkaji juga ingin mengetahui strategi yang digunakan oleh pengetua atau guru besar dalam melaksanakan pembangunan profesional di sekolah mereka. Diharapkan kajian ini juga dapat menyediakan sebuah model amalan kepimpinan pengetua dan guru besar SBT yang boleh dijadikan panduan dan rujukan kepada sekolah-skolah lain.
Kajian yang dijalankan ini adalah berbentuk kualitatif dan melibatkan kajian kes pelbagai dengan menggunakan soalan temubual yang dibentuk untuk menjawab kepada persoalan kajian, pemerhatian, dokumen-dokumen dan laporan. Ia bertujuan untuk memberi maklumat yang pelbagai. Kajian yang dijalankan adalah di dua buah sekolah yang berjaya terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Malaysia dan bertujuan untuk mengenalpasti ciri dan amalan kepimpinan pengetua atau guru besar SBT yang dipilih di Malaysia iaitu SBT 1 dan SBT 2. Dua buah sekolah ini dipilih kerana kedua-duanya adalah sekolah yang berjaya dan berprestasi tinggi, mempunyai reputasi yang tinggi di negara ini dan selalu dijadikan contoh kerana kejayaan yang berterusan sama ada dari aspek akademik mahupun bukan akademik. Instrumen kajian yang digunakan adalah melalui soal temubual. Soalan temubual separuh struktur digunakan adalah adaptasi soalan-soalan daripada kajian lepas yang telah diubahsuai mengikut konteks pendidikan di Malaysia. Soalan temubual yang dibuat adalah untuk menjawab kepada persoalan kajian.
            Hasilnya menunjukkan faktor utama yang mendorong kepada pencapaian kejayaan ini adalah kepimpinan pengetua atau guru besar. Kepimpinan adalah satu proses dan tingkahlaku di mana seseorang pemimpin itu mengambil tindakan-tindakan tertentu untuk mempengaruhi individu lain supaya berusaha secara sukarela dan bekerjasama untuk mencapai objektif kumpulan atau organisasi tanpa mementingkan kepentingan peribadi. Untuk melaksanakan tugas-tugas sebagai seorang pemimpin bukanlah suatu perkara yang mudah. Tambahan pula untuk memimpin sekolah kepada tahap yang cemerlang dan berprestasi tinggi. Oleh yang demikian, seseorang pemimpin itu mestilah mempunyai ciri-ciri pemimpin yang berkesan dan mengamalkan gaya kepimpinan yang paling terbaik.




   





No comments:

Post a Comment